Monday, 14 September 2015




Memantapkan pendidikan Islam melalui J-QAF

 

MUNGKIN anda pernah menyaksikan sekumpulan murid sekolah rendah menghadiri majlis khatam al-Quran beramai-ramai walaupun usia mereka tidak melebihi 12 tahun.
Atau melihat murid sekolah yang sedang mengerjakan solat sunat dhuha atau solat sunat hajat. Mereka juga mahir membaca doa selepas solat atau menghuraikan hukum sesuatu perbuatan menurut syariat agama. Semua ini adalah sebahagian hasil kejayaan program J-Qaf yang dilaksanakan di sekolah rendah sejak 2005.

Pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang bertakwa dan bersahsiah tinggi meningkat satu tahap lagi apabila program rintis J-Qaf bagi sekolah menengah akan dilaksanakan pada 2012. Selepas itu pelaksanaan sepenuhnya seluruh sekolah menengah akan dilaksanakan pada 2013. Ini dilihat sebagai usaha memantapkan lagi kandungan kurikulum mata pelajaran Pendidikan Agama Islam bagi murid sekolah. Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO ke-62 baru-baru ini.
Pelaksanaan J-Qaf di peringkat sekolah rendah dimulakan pada 2005. Selepas pelaksanaannya selama 6 tahun didapati ia sangat berkesan dan memberi impak besar kepada sahsiah dan tingkah laku murid.
Berdasarkan kajian didapati melebihi 94 peratus murid dapat menguasai empat kemahiran asas iaitu tulisan jawi, membaca al-Quran, asas berkomunikasi dalam bahasa Arab dan memahami keperluan fardu ain. Dengan kejayaan itu sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran meluaskan program J-Qaf itu ke peringkat menengah supaya dapat dimanfaatkan lebih ramai murid.

Konsep program J-Qaf adalah suatu usaha memperkukuhkan pendidikan Islam melalui penekanan khusus dan berfokus kepada pengajaran tulisan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain. Pelaksanaan program ini menggunakan kurikulum melalui model dan modul pengajaran tersendiri. Banyak komponen baru dimasukkan tidak dapat dipraktikkan dalam mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam kerana kesuntukan masa jadual pengajaran. Bagi memantapkan pelaksanaan program ini tenaga guru khusus digunakan yang akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan, bimbingan, kemahiran, pengukuhan, pengayaan dan penghayatan murid. 

Program ini dilaksanakan melalui tambahan peruntukan jadual waktu sedia ada. Di samping itu objektif program ini adalah memperkukuhkan komponen tertentu dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam seperti bidang tilawah al-Quran, penghayatan akidah, amalan ibadah, pengetahuan sirah nabawi, pengukuhan akhlak dan penguasaan tulisan jawi dengan lebih berkesan. Matlamat program ini dijangkakan murid bukan sahaja mempunyai pengetahuan dalam bidang dinyatakan tetapi dapat menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. 

Timbulnya idea melaksanakan program J-Qaf adalah kerana kebimbangan ibu bapa terhadap kemerosotan penguasaan tulisan jawi anak-anak mereka akibat penekanan yang meluas tulisan rumi dalam sistem pendidikan. Pada hakikatnya peruntukan masa pengajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia amat terhad. 

Sementara itu, guru-guru agama tidak mempunyai masa mencukupi mengajar komponen itu dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Akibatnya ramai murid tidak dapat menguasai malah asas tulisan jawi. Kegagalan murid menguasai tulisan jawi dibimbangi memberi kesan kepada penguasaan dalam bidang al-Quran. 

Program J-Qaf turut memberi penekanan kepada aspek pengetahuan asas bahasa Arab dan komponen fardu ain. Dengan mempunyai pengetahuan bahasa Arab yang mudah membolehkan murid berkomunikasi dalam bahasa tersebut dan ini merupakan suatu kelebihan yang diperolehi melalui program ini. Di samping itu pengetahuan fardu ain yang mengandungi peraturan dan hukum-hakam agama akan dapat dimanfaatkan oleh murid dalam amalan dan perlakuan seharian. 

Jika ditinjau secara mendalam memang terdapat perbezaan kaedah pengajaran di antara mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dengan J-Qaf. Pengajaran Pendidikan Agama Islam kelihatan memberi penekanan kepada kaedah teori dan berbentuk akademik menyebabkan murid kurang menghayati dan mengamalkan perkara yang diajar melalui perbuatan. Lebih membimbangkan apa yang mereka pelajari di sekolah tidak dapat diamal dan mudah lupa terutama selepas meninggalkan sekolah.

Akibatnya banyak pihak mengaitkan ketidakberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Agama Islam dengan berleluasanya gejala sosial dalam masyarakat kita terutama di kalangan golongan remaja. Isu mat rempit, pergaulan bebas, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah dan sebagainya dikatakan boleh dikurangkan jika mereka menghayati dan mengamalkan pendidikan agama di sekolah. 

Oleh itu satu kaedah lain perlu dicari yang lebih menekankan kepada aktiviti amali dan latih tubi supaya pengajaran yang diberikan memberi kesan lebih mantap dan mendalam. Di sinilah munculnya idea program J-Qaf yang lebih berfokus dan dianggap sebagai kaedah saling lengkap melengkapi terhadap pendidikan agama di sekolah.

Apabila program J-Qaf mula diperkenalkan guru-guru agama yang sedia ada terus digunakan. Namun demikian mereka dikehendaki menghadiri kursus-kursus hujung minggu yang bertujuan memantapkan kaedah dan modul pengajaran melalui bantuan dan kerjasama Bahagian Pendidikan Guru. Alat-alat pengajaran dan pembelajaran terkini diperkenalkan bagi membantu melancarkan pengajaran guru. 

Walaupun program ini dilaksanakan selama enam tahun di sekolah rendah tetapi kajian dan penilaian perlu dilakukan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi keupayaan pengajaran program itu. Cadangan untuk melanjutkan program J-Qaf ke peringkat sekolah menengah sangat dialu-alukan. Melalui program ini diharapkan lebih ramai murid dapat dilahirkan bagi memenuhi keperluan modal insan berakhlak dan bersahsiah tinggi.


No comments:

Post a Comment